CLICK HERE FOR BLOGGER TEMPLATES AND MYSPACE LAYOUTS »

Monday, October 20, 2008

SOI LEK BUAT KEJUTAN!!!!


18 Oktober 2008, rakyat Malaysia telah dikejutkan dengan keputusan pemilihan jawatan tertinggi MCA di Wisma MCA, Kuala Lumpur apabila Datuk Seri Dr. Chua Soi Lek yang dulu mencipta kejutan apabila beliau yang terpaksa melepaskan jawatan dalam parti dan kerajaan ekoran skandal video seks berjaya menewaskan tiga calon lain untuk memenangi jawatan Timbalan Presiden MCA.

Kedua-dua jawatan Presiden dan Timbalan Presiden MCA ditandingi selepas penyandangnya, Datuk Seri Ong Ka Ting dan Tan Sri Chan Kong Choy membuat keputusan tidak mempertahankannya pada pemilihan kali ini.

Sementara itu, Presiden MCA yang baru, berjanji akan meneruskan reformasi parti seperti yang telah dijanjikan dan meminta ahli parti menghormati keputusan yang telah dibuat oleh para perwakilan pada pemilihan hari ini.
Menurutnya, beliau amat berterima kasih kepada para perwakilan yang telah memberi mandat kepadanya untuk memimpin parti.
‘‘Saya akan bekerjasama dengan Timbalan Presiden, Datuk Seri Dr. Chua Soi Lek untuk memimpin parti pada masa depan.
‘‘Sebenarnya tiada perbalahan antara saya dengan Soi Lek, cuma pandangan kami mungkin berbeza dalam sesetengah perkara sahaja,” katanya kepada pemberita selepas majlis pengumuman keputusan pemilihan parti di Wisma MCA di sini malam ini.

Soi Lek pula yang membuat kejutan apabila memenangi jawatan Timbalan Presiden berkata, beliau sangat berpuas hati dengan keputusan pemilihan kali ini dan menghargai sokongan dan galakan yang telah diberikan oleh para perwakilan.
‘‘Saya akan bekerjasama dengan Tee Keat dan ahli jawatan kuasa pusat yang baru dilantik untuk memperbaharui imej parti .
‘‘Kita mahu mengukuhkan parti untuk mengembalikan keyakinan masyarakat Cina terhadap MCA,” katanya.

komen periukkera:
Semoga mereka dapat menjalankan segala tugas dan tanggungjawab dengan jujur dan sebaik mungkin demi kesejahteraan parti. Harapan semoga apa yang pernah terjadi sebelum ini dijadikan sebagai teladan kepada diri dan masyarakat. mana lah tahu....selepas ini tiada lagi peluang ketiga???

Sunday, October 19, 2008

"SAYA AKAN TUBUHKAN 3 SURUHANJAYA"

Berikut sebahagian dari teks dalam pengumuman Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi berkaitan 3 suruhanjaya yang akan ditubuhkan di bangunan PWTC selepas mesyuarat khas Dewan Tertinggi BN berhubung peletakan jawatannya sebagai presiden Umno dan perdana menteri.
1. Pertama, institusi negara perlu diperkukuhkan:
Badan kehakiman perlu memperkukuhkan kedudukan dan kredibilitinya di mata rakyat. Saya akan membawa rang undang-undang ke Parlimen bagi menubuhkan Suruhanjaya Pelantikan Kehakiman. Suruhanjaya ini akan diberi mandat untuk mencadangkan pelantikan para hakim dengan cara yang telus.Negara juga memerlukan sebuah institusi yang dapat memerangi gejala rasuah dengan efektif. Oleh itu, saya juga akan membawa rang undang-undang ke parlimen untuk menubuhkan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia, yang akan mempunyai kuasa penyelidikan dan penguatkuasaan yang lebih besar berbanding kuasa yang sedia ada pada Badan Pencegah Rasuah.Saya juga akan menubuhkan sebuah Suruhanjaya Aduan Khas bagi memperkukuhkan integriti dan keberkesanan agensi penguatkuasaan.
2. Kedua, kekayaan dan hasil kemakmuran Negara perlu diagihkan secara lebih adil ke serata Negara.
Ketika membentangkan Bajet 2009 yang lalu, saya telah menjelaskan tentang komitmen Kerajaan untuk memperkukuh dan memperluaskan Jaringan Keselamatan Sosial. Kita akan meningkatkan usaha bagi memastikan perlaksanaan inisiatif ini dapat disegerakan bagi membantu rakyat Malaysia yang miskin dan memerlukan, tanpa mengira latar belakang, kaum atau agama. Saya juga akan bekerja keras untuk memastikan manfaat yang jelas akan dapat mula dinikmati di Iskandar, dan juga koridor-koridor pembangunan yang lain di serata Negara.
3. Ketiga, saya ingin melihat kerajaan dan Barisan Nasional memperbaharui komitmen mereka terhadap usaha mewujudkan sebuah negara yang bersatu dan harmoni.
Hakikatnya, kita telah sama-sama melihat bahawa keharmonian hubungan antara kaum dan agama semakin merosot dan terhakis. Pelbagai isu telah dibangkitkan yang berupaya meretak dan menghancurkan perpaduan yang telah kita jalin sekian lama, yang kita banggakan selama ini. Isu-isu ini perlu kita depani dengan bijak dan matang, melalui dialog; tangani isu-isu ini secara konstruktif dan adil; bagi memastikan rakyat dapat memahami isu-isu ini dengan jelas, tanpa sebarang keraguan; dan berikan fokus kepada aspek-aspek yang menyatukan kita dan bukannya aspek-aspek yang makin memecah-belahkan kita semua. Bagi tujuan ini, saya akan mengadakan Konvensyen Barisan Nasional pada awal tahun depan. Ini sememangnya satu usaha jangka panjang yang saya harap dapat saya mulakan dan akan terus saya berikan sumbangan bagi memastikan kejayaannya.
suruhanjaya pertama yang bakal ditubuhkan secara ringkasnya adalah menangani gejala rasuah yang semakin berleluasa di negara ini. suruhanjaya kedua pula memperkukuhkan danmemperluaskan jaringan keselamatan sosial manakala yang ketiga adalah menekankan komitmen kerajaan dan BN dalam aspek perpaduan antara kaum dan agama yang semakin merosot.
Apa komen anda?